Karnival Jualan Borong Usahawan Ramadan Di Bukit Jalil

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 27 Ogos -- Tinggal beberapa hari sahaja lagi bulan Ramadan akan datang menjengah.

Istimewanya Ramadan tahun ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) ada buah tangan untuk orang ramai.

Buat julung kalinya, MeCD menganjurkan Karnival Jualan Borong Usahawan Ramadan bertempat di perkarangan Stadium Nasional Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.

Karnival yang majlis prapelancarannya disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar Sabtu lepas menetapkan sasaran sejumlah 10,000 pengunjung setiap hari dari seluruh Malaysia.

OBJEKTIF

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MeCD, karnival itu menempatkan sejumlah 2,000 gerai, melibatkan penyertaan usahawan Bumiputera sebanyak 90 peratus manakala 10 peratus untuk bukan Bumiputera dalam aktiviti pameran dan jualan.

Karnival yang akan berlangsung sepanjang Ramadan ini diadakan bertujuan menyediakan ruang bagi para usahawan untuk mempromosi dan memasarkan produk serta perkhidmatan mereka.

Selain itu, karnival ini juga dapat mewujudkan dan memperluas jaringan pasaran di antara pengeluar, pengedar, peruncit dan pemborong bukan sahaja dari dalam negara malahan juga luar negara.

Sehubungan dengan itu, penganjuran karnival ini secara tidak langsung dapat mempertingkat daya saing produk keluaran tempatan melalui pendedahan dan persaingan sihat di antara sesama usahawan, menurut kenyataan itu.

Penglibatan usahawan termasuk dalam kalangan peruncit, pengeluar, pemborong dan pengilang; meliputi pelbagai industri seperti bahan makanan, kosmetik, herba dan penjagaan diri, hiasan dalaman, pakaian, perabot dan peralatan rumah, peralatan elektrik dan elektronik serta kraftangan.

TERBUKA KEPADA PARA USAHAWAN

Usahawan yang berminat untuk menyertai karnival ini perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan penganjur; antaranya peserta mestilah merupakan usahawan kategori Usahawan Kecil dan Sederhana, mempunyai nilai jualan tahunan tidak melebihi RM25 juta serta mempunyai pekerja sepenuh masa tidak melebihi 150 orang.

Penyertaan juga dibuka kepada usahawan di bawah mana-mana program pembangunan keusahawanan kementerian atau agensi kerajaan yang perlu dibantu untuk mempromosi dan memasarkan produk di pasaran tempatan dan global.

Produk dan perkhidmatan yang dikeluarkan pula haruslah keluaran usahawan sendiri. Produk yang dihasilkan mesti berkualiti, dengan pembungkusan dan pelabelan yang menarik.

Sebuah pavilion khas iaitu Pavilion Malaysia Kitchen akan diwujudkan bagi menempatkan usahawan yang menyediakan perkhidmatan jualan makanan dan minuman.

Karnival ini juga menyediakan pelbagai gerai menjual beraneka juadah untuk orang ramai berbuka puasa.

HARAPAN MECD

MeCD berharap program Karnival Jualan Borong Usahawan Ramadan 1429H ini dapat memberikan pelbagai manfaat kepada para usahawan pada semua peringkat.

Paling penting, para usahawan harus mengambil peluang ini untuk membina jaringan pasaran dengan rantaian pembeli perdagangan, pengedar, pengguna dan usahawan lain sepanjang karnival berlangsung.

Dalam pada itu, MeCD juga berharap karnival ini dapat meningkatkan jumlah jualan tunai dan kontrak usahawan-usahawan yang terlibat, yang pastinya hadiah terbaik menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selain aktiviti pameran dan jualan yang menjadi agenda utama karnival, pelbagai aktiviti sampingan turut dirancang; antaranya solat tarawih berjemaah, tadarus Al-Quran, ceramah agama dan demonstrasi produk dan perkhidmatan.

Bagi usahawan yang berminat untuk menyertai karnival ini, borang penyertaan boleh dimuat turun di laman web MeCD di www.mecd.gov.my . Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Urusetia Karnival Jualan Borong Usahawan Ramadan 1429H di talian (03) 8996 4403 / (016) 345 7807 /(016) 3457 807 (Lila) / (019) 3677 725 (Fazal) / (013) 3371 168 (Habsah) atau emel kepada: karnivalRamadan@yahoo.com



-- BERNAMA