|
|
Perkhidmatan Pembetungan Bersambung
Pelanggan perkhidmatan pembetungan bersambung mempunyai saluran paip pembetungan
yang disambung terus ke loji rawatan kumbahan awam melalui rangkaian paip
pembetungan di bawah tanah. Bagi pelanggan yang menerima perkhidmatan ini,
selalunya terdapat satu ruang kecil di luar rumah mereka, sama ada di tepi,
hadapan atau belakang. Ruang pemeriksaan ini mempunyai penutup logam bersegi
empat tepat dan digunakan untuk memeriksa paip pembetung persendirian sekiranya
terdapat masalah paip pembetungan tersumbat.
Ruang pemeriksaan tidak perlu dikosongkan. Ia berbeza daripada tangki septik
individu kerana tangki septik individu mempunyai dua atau empat penutup yang
terletak sebaris atau bersebelahan di antara satu sama yang lain.Premis yang
mempunyai sistem pembetungan bersambung ke loji pada lazimnya mempunyai satu
“ruang pemeriksaan” yang ditutupi dengan satu penutup logam bersegi empat tepat.
Ia biasanya terletak di luar kawasan premis sama ada di hadapan, belakang atau
tepi premis. Di dalam ruang pemeriksaan adalah saliran paip daripada tandas,
bilik-bilik mandi dan dapur yang disambungkan ke loji olahan kumbahan melalui
saliran paip pembetungan awam bawah tanah. Sekiranya saliran paip tersumbat,
pemeriksaan dan pengeluaran sekatan dijalankan melalui ruang pemeriksaan ini.
Walau bagaimanapun, premis jenis banglo pada lazimnya akan mempunyai lebih
daripada satu ruang pemeriksaan bergantung kepada jumlah tandas, bilik mandi dan
dapur di dalam premis. Jika premis mempunyai 5 tandas dan satu dapur, maka di
luar kawasan premis akan mempunyai 6 ruang pemeriksaan dan bukan satu ruang
pemeriksaan sahaja. Sering kali, pemilik rumah jenis banglo beranggapan bahawa
ruang-ruang pemeriksaan ini adalah tangki septik. (Tangki septik adalah dibina
sebaris serta sekelompok dan tidak terletak di merata tempat di dalam kawasan
rumah).
Satu lagi kekeliruan yang sering berlaku di kalangan pengguna adalah perbezaan
di antara saliran paip dalaman atau persendirian dan awam. Ramai pengguna tidak
tahu bahawa saliran paip dari ruang pemeriksaan ke saliran paip pembetungan awam
atau lurang pembetungan awam adalah saliran paip persendirian milik dan
tanggungjawab pengguna untuk membaiki dan mengganti paip-paip yang pecah atau
mengeluarkan sekatan atas perbelanjaan sendiri.
Kawasan yang mempunyai sistem pembetungan bersambung akan mempunyai “lurang
pembetungan” di sepanjang jalan awam dan ditutupi dengan penutup logam bulat. Di
dalam lurang pembetungan, sedalam 3 meter sehingga 6 meter, terdapat saliran
paip pembetungan bawah tanah dari premis-premis ke tapak loji olahan kumbahan.
Apabila terdapat saliran paip tersumbat, kerja-kerja pemeriksaan dan pengeluaran
sekatan akan dilakukan melalui lurang pembetungan menggunakan vakum berkuasa
tinggi dan pancutan air tekanan tinggi. Orang awam adalah dilarang membuka
penutup lurang pembetungan tanpa kelulusan daripada IWK atau Jabatan
Perkhidmatan Pembetungan, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Orang ramai
boleh memaklumkan kepada IWK di talian 1-800-88-3495, jika terdapat sesiapa yang
mencurigakan cuba membuka lurang pembetungan tersebut.
|